Bola Sepak

Teong Kim hilang sabar

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim meluahkan rasa kecewa dengan kekalahan 1-3 anak buahnya di tangan skuad Harimau Kumbang pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Tanpa berselindung, beliau menyifatkan kesebelasan utama yang diturunkan pada babak pertama perlawanan tidak ubah seperti bermain dalam keadaan 'lena' sehingga mempamerkan kualiti persembahan yang begitu buruk.

"Perak separuh masa pertama mengarut. Saya kata mereka bermain dengan teruk. Mereka mungkin masih tidur ketika itu. Pada masa kedua, kami tukar semua pemain dan permainan berubah," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Bekas Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFPD) itu berpendapat beraksi pada bulan Ramadan turut menguji skuad Seladang yang kebanyakannya terdiri daripada pemain tempatan yang perlu berpuasa.

Teong Kim melihat situasi itu tidak berpihak kepada pasukannya dengan Perak FC terpaksa menurunkan hanya dua pemain import pada babak pertama perlawanan berbanding kem tuan rumah yang menurunkan lima pemain import mereka.

Keadaan itu memaksa jurulatih berusia 60 tahun itu mengeluarkan dua tonggak import, Sunday Kolawole dan Luciano Guaycochea yang baru pulih dari kecederaan dari bangku simpanan pada babak kedua perlawanan.

"Kita simpan mereka kerana mereka baru sembuh dan mengharapkan supaya mereka tidak cedera. Tetapi kita tiada pemain dan terpaksa menggunakan mereka dan sekarang (semalam) mereka sudah cedera.

"Melainkan kalau kita ada semua pemain naturalisasi, ia akan jadi berbeza kerana mereka tidak perlu berpuasa jadi itu masalah yang kita hadapi.

"Anda dapat lihat sebilangan pemain tempatan kita tidak mampu bertahan sedangkan sebelum ini mereka boleh dan ini adalah permainan hari pertama pada bulan puasa. Sangat susah kalau lihat mereka. Kita nampak bergelut," katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2023 @ 10:29am
d