Bola Sepak

Negeri Sembilan raih tiga mata di Paroi

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan FC ( NSFC) berjaya meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan FC, 4-2, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kejayaan mengutip tiga mata itu membolehkan skuad Hobin Jang Hobin mendaki ke tangga ketujuh carta liga dengan mengumpul lapan mata.

Bermula dengan aksi berhati-hati, kedua-dua pasukan dilihat cuba menyusun rentak dengan berusaha mencipta beberapa gerakan menarik memasuki kawasan pertahanan lawan.

Bagaimanapun tiada percubaan ke arah kawasan gol yang dapat dilakukan apabila bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah.

Melalui serangan pantas Kelantan dan akibat kelekaan bahagian pertahanan tuan rumah, gawang Negeri Sembilan cemas seketika apabila bola lorongan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri ke dalam kotak penalti pada minit ke-12, hampir berjaya disambar dengan baik oleh Mohamad Fazrul Amir Md Zaman.

Negeri Sembilan yang mendapat semangat baharu selepas berjaya mencatat kemenangan pertama menewaskan Terengganu FC pada perlawanan terdahulu, akhirnya berjaya menembusi benteng pelawat menerusi jaringan dilakukan Mahali Jasuli pada minit ke-15.

Mahali melakukan sepakan lambung mengelirukan dari luar kotak penalti dalam jarak kira-kira 25 meter yang tidak terjangkau penjaga gol Kelantan, Nik Mohd Amin Ahmad.

Bagaimanapun, Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti diambil Ismaheel Akinade, susulan pertahanan Negeri Sembilan menjatuhkan pemain pelawat, sekali gus menewaskan penjaga gol gantian, Mohd Muhaimin Mohamad.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Herold Goulon meletak kembali Negeri Sembilan di depan menerusi jaringan pada minit ke-37 selepas dia menanduk kemas bola lencongan Mahali dari sebelah kiri, untuk tuan rumah memiliki kelebihan pada separuh masa pertama.

Kelebihan itu ternyata tidak bertahan lama apabila bersambung babak kedua, Akinade meledak gol kedua Kelantan pada minit ke 52, untuk kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Langkah K Devan memasukkan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi atau Eky pada sebahagian tempoh separuh masa kedua ternyata berbaloi apabila bekas penyerang kebangsaan itu memanfaat bola hantaran lintang Casagrande, dengan mudah menolak masuk gol ketiga Negeri Sembilan pada minit ke-75.

Gandingan Casagrande dan Shahrel Fikri di barisan depan dilihat terus menjadi apabila giliran Shahrel Fikri pula melorongkan bola untuk Casagrande yang menjaringkan gol keempat Negeri Sembilan pada minit ke-88.

Kedudukan 4-2 yang menyebelahi Negeri Sembilan itu kekal sehingga ke wisel penamat sekali gus menceriakan 1,885 penyokong pasukan itu.

Disiarkan pada: April 2, 2023 @ 12:25am
d