Bola Sepak

Sang Kenari balas dendam

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk meneruskan momentum kemenangan di laman sendiri tercapai apabila menewaskan Penang FC 1-0 pada aksi ketujuh Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kejayaan itu sekali gus melunaskan 'dendam' kekalahan kepada Penang FC pada saingan Piala FA 8 Mac lalu dan melonjakkan kedudukan Sang Kenari ke tangga kedua Liga Super dengan 16 mata.

Gawang tuan rumah diuji seawal minit ke-2 oleh pelawat melalui sepakan percuma pemain import Penang FC Hassan Saad namun percubaannya melepasi palang gol.

Penang FC sekali lagi mencemaskan gawang Kedah pada minit ke-12 melalui percubaan Adib Raop namun ketangkasan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz menyelamatkan gawangnya.

Skuad tuan rumah cuba meningkatkan serangan untuk memburu gol namun rentak permainan yang agak perlahan menyebabkan kebuntuan jaringan terus berlarutan hingga ke hujung babak pertama.

Bermula babak kedua, tuan rumah kembali meneruskan asakan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi penyerangnya Willian Lira pada minit ke-64.

Kedah yang mendapat motivasi gol pertama meneruskan percubaan pada minit ke-70 melalui Manuel Hidalgo dari luar kotak penalti namun sedikit tersasar.

Kemasukan pemain import Jonathan Balotelli dan Fayadh Zulkifli pada minit ke-82 terus menambah rentak serangan tuan rumah namun usaha mereka gagal menambah jumlah jaringan hingga ke hujung babak perlawanan.

Disiarkan pada: April 6, 2023 @ 12:16am
d