Bola Sepak

Rashford tersisih lawan Sevilla

Oleh Agensi

London: Manchester United berdebar menunggu tahap kecederaan Marcus Rashford selepas penjaring 28 gol itu mengalami kecederaan pangkal paha ketika menentang Everton Sabtu lalu.

Rashford dijangka terlepas aksi suku akhir Liga Europa menentang Sevilla di Old Trafford awal pagi Jumaat ini tetapi yang lebih merisaukan jika dia terpaksa berehat beberapa minggu lagi.

Dalam penampilan ke-350nya untuk kelab, Rashford cuba menyambut hantaran Christian Eriksen tetapi kemudiannya memberikan isyarat ke bangku simpanan untuk keluar dan digantikan pada minit ke-81.

Pengurus Man Utd Erik ten Hag jelas bimbang dengan situasi menimpa ayam tambatannya itu.

Ten Hag berkata: "Kami perlu menunggu, kecederaannya tampak agak serius." Pengendali dari Belanda itu menyalahkan jadual padat United.

Dia tidak berpuas hati dengan Red Devils yang beraksi pada tengah hari ketika menentang Newcastle Ahad lalu, pertengahan minggu menentang Brentford dan bermain pada jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu.

Katanya: "Ini boleh dielak. Semua kajian dan sains menjelaskan pemain perlukan rehat untuk pulih."

Rashford beraksi 52 perlawanan musim ini untuk kelab dan negara. Dia tersisih aksi menentang Itali dan Ukraine dalam saingan Euro akibat kecederaan.

Jika Rashford diketepikan beberapa minggu, tanggung jawab lebih berat bakal digalas Anthony Martial yang baru kembali selepas pulih kecederaan.

Dia masuk sebagai pemain gantian kali ketiga berturut-turut pada Sabtu lalu dan menjaringkan gol pertamanya sejak 1 Februari.

Disiarkan pada: April 10, 2023 @ 9:33am
d