Bola Sepak

City terus buat Arsenal gundah

Oleh Reuters

London: Arsenal mungkin berharap pecutan tanpa henti mereka di pusingan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) mampu mengatasi Manchester City yang dikenali sebagai pakar pecutan saat akhir.

Tujuh kemenangan terakhir dalam liga membolehkan Arsenal kekal di tangga teratas, tetapi mereka mungkin gagal mengatasi anak buah Pep Guardiola.

Hujung minggu ini, mereka mungkin merasakan City semakin hampir dengan jurang berkurangan kepada tiga mata sebelum Arsenal bertandang ke West Ham United pada Ahad.

City selaku juara bertahan sentiasa mengekori Arsenal dan dilihat mencapai gear tertinggi pada masa sempurna, sama seperti mereka kerap lakukan.

Arsenal mensia-siakan pendahuluan 2-0 untuk seri 2-2 di Liverpool, hujung minggu lalu, yang bermakna City boleh melayan pasukan bermasalah, Leicester City, pada Sabtu, dengan peluang untuk memberi tekanan kepada kelab London itu.

Bagi Leicester yang menduduki tempat ke-19 liga, pelantikan pengurus, Dean Smith berlaku pada situasi buruk pada ketika dia perlu mengeluarkan kelab daripada situasi maut selepas tujuh kali kalah dalam lapan perlawanan liga.

Smith mesti mencari cara untuk menyekat City yang menang sembilan perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan dengan menjaringkan 34 gol dan hanya bolos tiga kali.

Cara City memusnahkan Bayern Munich, 3-0, pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Selasa lalu dan sebelah kaki ke separuh akhir, pasti mendebarkan penyokong Arsenal.

Malah, mesin gol City, Erling Haaland mencipta rekod baharu sebagai penjaring terbanyak semusim bagi pemain EPL.

Tekanan sudah pasti memihak kepada pengendali Arsenal, Mikel Arteta yang terus berusaha merangkul gelaran liga pertama sejak 2004.

Disiarkan pada: April 13, 2023 @ 10:00pm
d