Bola Sepak

Tiga kelab jadi mangsa skuad B-17 negara

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad bawah 17 (B-17) tahun negara boleh dikatakan berada pada landasan terbaik mencipta kejutan menempah tiket ke Piala Dunia B-17 pada hujung tahun ini.

Hal ini kerana, berdasarkan persiapan di Qatar menyaksikan skuad kendalian Osmera Omaro cukup sukar digugat pada tiga pertemuan perlawanan persahabatan yang berlangsung baru-baru ini.

Skuad harapan untuk ke Piala Dunia B-17 tidak berhadapan masalah menumpaskan pasukan Al Arabia SC 4-2 dan Umm Salal SC 5-0 manakala terbaharu adalah Al Ghrafa B-18, menjadi mangsa 'baham' Harimau muda negara itu menerusi keputusan 4-1.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengakui bahawa skuad muda negara itu berpeluang untuk melangkah ke Piala Dunia B-17 tahun ini.

"Kalau ada rezeki, kita kerja kuat dan sama-sama kita doa, pasukan ini ada peluang untuk pergi ke Piala Dunia B-17 dan ini menjadi satu sejarah kalau Malaysia berjaya masuk.

"Selepas ini mereka akan balik menentang Arab Saudi dalam aksi persahabatan di sini (Malaysia) dan juga mungkin Uzbekistan yang berminat kerana banyak pasukan yang datang ke sini sebelum ke Bangkok," katanya.

Kejohanan Piala Asia B-17 2023 yang akan berlangsung di Bangkok, Jun depan menawarkan empat slot ke Piala Dunia B-17, hujung tahun ini.

Ia bermakna anak buah Osmera perlu melangkah ke pusingan separuh akhir dalam Piala Asia B-17 di Bangkok kelak untuk merebut tiket automatik ke Piala Dunia B-17.

Peluang itu tidak mustahil dengan skuad negara boleh dianggap bertuah bagi saingan peringkat awal apabila diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Thailand, Yaman dan Laos.

Disiarkan pada: April 15, 2023 @ 4:52pm
d