Bola Sepak

Kurang idea, kreativiti punca Sri Pahang tewas

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kurang idea dan kreativiti di bahagian tengah antara punca yang berjaya dihidu pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad hingga menyebabkan pasukannya tumbang 0-4 di tangan Selangor FC dalam aksi 16 terbaik Piala FA di Stadium Majlis Bandararaya Petaling Jaya, malam tadi.

Menurut legenda bola sepak Singapura itu, susulan ketiadaan jeneral di posisi itu beliau membayangkan bakal membawa masuk dua tonggak baharu bagi memperkuatkan bahagian tengah pada jendela perpindahan kedua Julai nanti.

"InsyaAllah saya kena minta izin dulu (daripada pihak pengurusan pasukan bawa masuk pemain baaharu). Tapi memang kita harus cari seorang atau dua orang pemain tengah kerana kita memang perlukan, mudah-mudahan kita akan dapat.

"Kita kekurangan pemain yang berkaliber yang boleh cipta banyak peluang. Hari ini kita tiada kreativiti," katanya selepas aksi itu.

Jelasnya lagi, disebabkan ketiadaan beberapa tonggak utama ekoran masalah kecederaan, beliau sememangnya memilih untuk bertahan pada awal permainan namun terpaksa mengubahnya selepas Selangor meraih gol pertama di lima terakhir babak pertama.

"Kita memang nak 'hold' dulu masa separuh masa pertama kerana kita kehilangan beberapa tonggak utama sebab itu kita tidak boleh bermain secara terbuka.

"Lepas ketinggalan satu gol, kita memang nak menyerang pada separuh masa kedua untuk cari gol. Tapi serangan balas Selangor lebih cepat dan penyudah mereka luar biasa sekali. Hari ini persembahan pemain lawan cukup luar biasa," katanya.

Skuad Red Giants nyata berada pada kelas tersendiri apabila mendahului pada minit ke-41 hasil rembatan jarak jauh Mukhairi Ajmal yang gagal ditampan kemas penjaga gol pelawat, Izham Tarmizi.

Mukhairi sekali lagi membuatkan Izham terkapai-kapai pada minit ke-59 apabila sepakan lambungnya tepat ke sasaran, sebelum Faisal Halim dan Brendan Gan mengukuhkan kelebihan dengan gol ketiga dan keempat di minit 67 dan 72.

Disiarkan pada: April 16, 2023 @ 1:00pm
d