Bola Sepak

Penganjur Piala SMJ 2022 berhutang RM600,000

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Penganjur kejohanan Pesta Bola Sepak Merdeka Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 yang berlangsung pada September tahun lalu meminta campur tangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi menyelesaikan hutang RM600,000 yang tertunggak sehingga kini.

Setiausaha Pengelola Kejohanan Piala SMJ, Kerol Chong berkata, jumlah itu untuk membayar pihak yang terbabit dalam menjayakan penganjuran kejohanan berkenaan, termasuk pembekal peralatan.

"Saya berharap masalah hutang yang masih tertunggak untuk kejohanan itu dapat diselesaikan dengan baik. Kejohanan ini berlangsung dengan jayanya malah pembukaan kejohanan juga disempurnakan oleh Ketua Menteri sendiri.

"Dalam rekod juga, Ketua Menteri adalah penaung utama kejohanan manakala dua pengerusi penganjur bersama ialah Datuk Abdul Kassim Razali dan Datuk Peter Anthony," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kerol berkata, semua yang terbabit dalam kejohanan berkenaan sangat berharap agar bayaran yang tertunggak itu dapat dibuat sebelum Aidilfitri ini.

"Selaku setiausaha pengelola kejohanan, saya merayu kepada Ketua Menteri untuk campur tangan dan menyelesaikan perkara ini dengan baik. Saya juga berharap agar pihak yang terbabit bersabar dan memberikan kami sedikit masa lagi," katanya.

Kejohanan sempena sambutan Hari Malaysia tahun lalu itu berjaya menghimpunkan bekas bintang bola sepak Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Hadiah yang ditawarkan juga cukup lumayan termasuk RM120,000 yang dibawa pulang oleh pasukan Indonesia selaku juara.

Pasukan yang mendapat tempat kedua dan ketiga pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM70,000 serta RM50,000.

Selain itu, bagi tempat keempat hingga kelapan pula membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 untuk tempat keempat, RM24,000 (kelima), RM23,000 (keenam), RM21,000 (ketujuh) dan RM20,000 (kelapan).

Selain hadiah lumayan kepada pasukan yang menyertai kejohanan itu, orang ramai yang hadir juga diberi peluang memenangi sejumlah hadiah cabutan tiket bertuah termasuk sebuah kereta Perodua Axia.

Disiarkan pada: April 19, 2023 @ 6:36pm
d