Bola Sepak

Amaran kepada pemain Melaka FC

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Misi dan visi pasukan Melaka FC tetap utuh melangkah ke Liga Super musim depan biarkan ketika ini skuad terbabit berada di tangga ketujuh daripada 14 pasukan di Liga M3 setakat ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (Mafa), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, tiada jalan lain kecuali pasukan meraih kemenangan atau mencatat keputusan terbaik sebaik aksi bersambung selepas Aidilfitri.

Katanya, Mafa sedia menyingkirkan mana-mana pemain yang dianggap gagal menunjukkan prestasi cemerlang dan hanya sekadar 'penumpang'.

Sehubungan itu, mana-mana pemain yang tidak berada dalam prestasi tidak memuaskan akan diberikan surat amaran bagi memperbaiki prestasi mereka.

"Apapun, kami akan mengikut prosedur iaitu mengeluarkan tiga notis sebelum menyingkirkan mana-mana pemain atau pegawai. Amaran pertama akan dikeluarkan selepas Aidilfitri supaya mereka fokus kepada misi pasukan untuk kembali ke Liga Super.

"Justeru, prestasi pemain akan dinilai dan jika masih gagal meningkatkan prestasi mereka akan digugurkan bagi membawa masuk pemain baharu dan melengkapkan pasukan pada jendela perpindahan kelak," katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2023 @ 4:39pm
d