Bola Sepak

Kos mahal punca tak mampu miliki stadium sendiri

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Kos tinggi antara masalah dihadapi kelab bola sepak Liga Malaysia (Liga M) dalam usaha mendapat pemilikan penuh terhadap stadium digunakan mereka ketika ini.

Masalah itu diakui Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menganggarkan pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM40 juta sekiranya mahu membangunkan stadium baharu.

"Saya berpendapat pemilikan stadium untuk bola sepak satu perkara wajib. Tetapi pada masa sama mereka di luar sana perlu faham kekangan dihadapi untuk memiliki stadium ini bukan memakan belanja kecil.

"Sebagai contoh kami di Perak FC, ada rancangan untuk bina dan memiliki stadium kami sendiri dan perkara ini sudah dalam perbincangan pihak berkuasa Negeri Perak untuk mereka kenal pasti tanah yang boleh dipajak.

"Bayangkan kalau nak bangunkan stadium kecil sahaja sudah memakan kos hampir RM40 juta. Jadi untuk syarikat korporat di luar sana menaja perbelanjaan ini, kalau mereka tidak nampak pulangan memang agak susah.

"Jadi kami kena lihat cara-cara yang lain bagaimana kami boleh mendapatkan dana berkenaan. Mungkin ada insentif lain dan sebagainya namun apa saya boleh katakan ia akan memakan masa agak panjang sebelum kami ada stadium sendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Dalam pada itu Abdul Azim berkata, pihaknya tidak menolak akan cuba pendekatan memajak stadium yang sedia ada dalam usaha memastikan skuad Seladang mempunyai 'kandang' sendiri.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sudah mengenal pasti beberapa stadium di Perak yang berpotensi untuk dijadikan rumah baharu buat skuad Bos Gaurus namun akan melihat kesesuaiannya terlebih dahulu.

Disiarkan pada: April 23, 2023 @ 8:24pm
d