Bola Sepak

Kelantan FC bakal 'salin kulit'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kelantan FC bakal 'menyalin kulit' pada jendela perpindahan kedua pada Julai ini bagi memperbaiki prestasi pasukan di suku kedua saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkara itu disahkan pemilik pasukan, Norizam Tukiman apabila mengakui sudah memulakan langkah ke arah itu.

Malah, perbincangan bersama pengendali pasukan The Red Warriors (TRW), Frank Bernhardt dan barisan kejurulatihan yang lain sudah dilakukan dengan beliau tidak akan duduk diam membiarkan prestasi pasukan merudum.

"Pasal prestasi kita, saya dah bincang semalam (kelmarin) dengan Mr Frank (Bernhardt), Rizal (penolong jurulatih, Rezal Zambery Yahya) dan Qus (pengurus pasukan, Qusmaini Noor Rusli) berserta team coaches lain untuk perbaiki pasukan.

"Keluarkan pemain dan masukkan lebih ramai pemain berkualiti Liga Super di putaran kedua. "Jangan risau saya tak duduk diam. Saya buat kerja. Usaha terus sampai berjaya," katanya yang sebelum itu turut bertemu dan mendapatkan pandangan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Johor Bharu.

Prestasi TRW ketika ini agak membimbangkan selepas pasukan itu sekadar menghuni tangga ke-13 daripada 14 pasukan bertanding.

Ia susulan selepas Kelantan hanya mampu mengutip empat mata daripada sembilan aksi setakat ini.

Malah, daripada sembilan perlawanan Liga Super itu, anak buah Bernhardt hanya mampu menang sekali dan seri sekali, dengan selebihnya tumbang.

Ekoran prestasi tidak menentu itu, TRW merehatkan jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik awal bulan ini, sebelum melantik Bernhardt mengisi kerusi panas itu.

Disiarkan pada: April 24, 2023 @ 3:36pm
d