Bola Sepak

'TFC serius untuk dapatkan Safawi' - Ab Rasid

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) serius untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Ratchaburi FC dalam Liga Thailand, Safawi Rasid pada jendela kedua perpindahan pemain yang dijadualkan bermula 5 Julai hingga 8 Ogos depan.

Malah jika semuanya berjalan dengan lancar, pemain itu bakal dipinjamkan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi memperkuatkan jentera tengah dan serangan skuad Penyu yang bakal beraksi dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang dijadualkan bermula Ogos ini.

Situasi terkini itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang mengakui pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan berminat untuk mengikat pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Bagaimanapun beliau tidak mahu melanggar prosedur, sebaliknya menyerahkan kepada pihak pengurusan skuad Harimau Selatan untuk membuat keputusan sama ada bersetuju meminjamkan pemain itu kepada TFC ataupun sebaliknya.

"Sejujurnya kita begitu berminat untuk menggunakan khidmat pemain itu (Safawi) bagi memperkuatkan lagi jentera sayap dan serangan pasukan lebih-lebih lagi kami bakal beraksi dalam saingan Piala AFC selain Liga Malaysia (Liga M).

"Lagipun kami sudah berusaha ke arah itu (mendapat Safawi) selepas dikhabarkan pemain berusia 26 tahun itu tidak begitu gembira dan selesa beraksi bersama kelab Ratchaburi FC dan bersedia untuk kembali mewarnai Liga M.

"Jika tidak ada sebarang masalah, Insya-Allah bekas pemain kelab T-Team itu bakal kembali mewarnai pasukan negeri kelahirannya pada jendela kedua perpindahan pemain nanti," katanya ketika ditemui di Marang.

Terdahulu jurulatih TFC, Tomislav Steinbrukner membayangkan Safawi berkemungkinan akan bersama TFC bagi menghiasi kancah Liga M dan Piala AFC.

Disiarkan pada: April 25, 2023 @ 2:33pm
d