Bola Sepak

NSFC cadang tambah penyerang import

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) berhasrat untuk menambah pemain import bagi memperkasakan lagi kekuatan pasukan itu pada jendela perpindahan kedua, Julai depan.

Bagaimanapun hasrat itu hanya boleh dilaksanakan andai kewangan kelab berkenaan bertambah baik.

Ketua jurulatih NSFC, K Devan berkata, perbincangan mengenainya sudah dibuat dengan pihak pengurusan namun keputusan akan tertakluk kepada keadaan kewangan kelab.

"Hasil perbincangan dengan pihak pengurusan kelab, kita akan bermain dengan pasukan sedia ada tapi jika kewangan persatuan bertambah baik pasukan bakal mencari tambahan pemain import pada jendela perpindahan kedua, Julai nanti.

"Kita berharap ia dapat direalisasikan kerana pasukan memerlukan tambahan pemain import berkualiti terutama di bahagian serangan," katanya di sini, hari ini.

Terbaru, Negeri Sembilan kecundang kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC, 1-2, dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat lalu.

Pada aksi itu, skuad Hobin Jang Hobin hanya mempertaruhkan penyerang tempatan, membabitkan gandingan Mohd Shahrel Fikri Md Fauzi, Mahali Jasuli dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak selepas Casagrande tidak dapat diturunkan kerana kurang cergas.

Devan berkata, beliau menafikan sengaja mencari alasan terhadap kelemahan pasukan itu sebaliknya ia adalah realiti sebenar kerana Negeri Sembilan tidak mempunyai pemain penyerang terutama import yang mencukupi untuk bertindak sebagai penggempur.

"Setakat ini kita hanya menyandarkan harapan kepada Casagrande sebagai penyerang utama, namun beliau seorang diri tidak mencukupi untuk melaksanakan tugas dengan berkesan dan masalah akan timbul apabila dia tidak dapat diturunkan.

"Saya tidak mahu cari alasan tapi ini hakikat. Kita perlukan pemain yang boleh jaringkan gol untuk menang.

"Pemain lain (tempatan) memang berusaha keras seperti ditunjukkan dalam setiap perlawanan tapi dengan semangat sahaja tak cukup, mesti ada pemain berkualiti di bahagian serangan," katanya yang mengharapkan hasrat itu dapat direalisasikan demi membantu Negeri Sembilan mencipta kejayaan musim ini.

Disiarkan pada: April 30, 2023 @ 8:41pm
d