Bola Sepak

Tok Gajah buat pengurusan senyum lebar

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) berbangga dengan pencapaian kelab itu yang kini berada di kedudukan ketiga saingan Liga Super setakat ini.

Pencapaian itu membuktikan skuad kendalian Fandi Ahmad berada pada prestasi terbaik untuk memberi saingan.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu pemain skuad Tok Gajah mengekalkan prestasi untuk memastikan pencapaian itu konsisten sehingga berakhir liga.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian Sri Pahang setakat ini apabila berada di kedudukan ketiga liga ketika ini. Pencapaian ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi mereka untuk kekal cemerlang dan mampu memberi tentangan kepada lawan yang lebih bagus pada baki perlawanan liga.

"Cabaran pasti lebih mencabar apabila berdepan Penang FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City selepas ini. Namun, pencapaian yang diperolehi setakat ini termasuk mengekalkan rekod tanpa kalah akan membantu untuk kekal berada pada prestasi lebih baik," katanya.

Diminta mengulas kelemahan ketara yang di bahagian tengah, Mohammed Suffian mengakui posisi itu perlu lebih mantap jika mahu mencatat keputusan lebih baik.

Katanya, faktor kecederaan membabitkan beberapa pemain di posisi berkenaan menjejaskan percaturan barisan kejurulatihan yang diketuai Fandi.

"Memang kita akui ada kelemahan apabila beberapa pemain di bahagian tengah seperti Sergio Aguero dan Kevin Ingreso apabila tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, ia memberi kesan terhadap persembahan pasukan.

"Tetapi apabila mereka kembali, bahagian tengah lebih bagus untuk membantu jentera serangan pasukan," katanya.

Selepas 10 perlawanan, skuad Tok Gajah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah apabila merekodkan enam kemenangan dan empat keputusan seri.

Disiarkan pada: May 1, 2023 @ 12:22pm
d