Bola Sepak

FAM tak pejam mata isu pengadil kontroversi

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui mereka tidak terlepas pandang mengenai sistem pengadilan kurang berkualiti dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan sentiasa mengambil berat berkenaan isu itu.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, mereka sentiasa mengambil pandangan dan merujuk kepada garis panduan dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Orang yang berada di tengah berbaju hitam memang mempunyai kuasa tetapi kalau tidak menunjukkan prestasi baik kita akan ambil tindakan," katanya yang juga Ahli Majlis Fifa.

Ujar Hamidin, sudah banyak dikenakan tindakan kerana sebagai badan induk bola sepak mereka mahu memastikan dapat melahirkan pengadil berkualiti.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh terus menghukum pengadil begitu sahaja. Tidak adil menyalahkan pengadil semata- mata kerana prestasi mereka perlu diadili secara keseluruhan.

"InsyaAllah di peringkat FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kita sudah buat persiapan selain dengan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan akademi profesional pengadil," katanya.

Jelasnya, walaupun ada menggunakan VAR, kontroversi tetap akan berlaku sama seperti di Piala Dunia, di Euro dan juga Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya bukan hendak menghukum pengadil tidak berkemampuan, kita pun prihatin untuk lahirkan lebih banyak pengadil di semua peringkat negeri. Seperti mana biasa saya kira Jawatankuasa Pengadil dan pengadil di dalam negara sudah berikan yang terbaik.

"Bagaimanapun, kita perlu ada peningkatan dari segi pengadilan. Bukan hanya di Malaysia di mana-mana negara pun bukan senang hendak jadi pengadil. Ini kerana dalam 90 minit mungkin lima saat mereka membuat keputusan yang salah," katanya.

Tambah Hamidin, beliau sudah banyak kali bertemu kumpulan pengadil di dalam negara untuk berbincang dari hati ke hati selain memberi pesanan agar bertindak menjadi pengadil yang baik.

Disiarkan pada: May 3, 2023 @ 12:51pm
d