Bola Sepak

Benarkan aksi TFC, Kelantan di sebelah malam

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC meletakkan harapan yang tinggi agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat memikirkan semula keputusan mengekalkan aksi sebelah petang membabitkan pertempuran tetangga, Terengganu FC (TFC) menentang Kelantan FC dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak pada 27 Mei ini.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, keadaan cuaca panas terik ketika ini adalah faktor utama yang perlu difikirkan dan dinilaikan semula pihak pengelola liga itu bagi memastikan tiada perkara yang diingini berlaku terutama strok haba.

Jelasnya, saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menasihati masyarakat supaya tidak berjemur dalam cuaca panas terutama melibatkan golongan kanak-kanak juga perlu difikirkan lebih serius dan mendalam pihak MFL dan bukannya hanya memikirkan perkara lain.

"Keputusan MFL mengekalkan waktu perlawanan pada sebelah petang dilihat kurang bijak dan tidak wajar memandangkan sekarang cuaca panas di negeri ini dan tempat-tempat lain yang sekali gus akan menggangu pemain yang terpaksa mengharungi cuaca panas yang boleh mengakibatkan berlaku perkara di luar jangkaan seperti strok haba, demam dan sebagainya.

"Selain itu impaknya juga buat peminat, keadaan stadium yang tidak mempunyai bumbung juga menyebabkan para penyokong yang hadir ke stadium berkemungkinan boleh berlaku strok haba terutama kanak-kanak.

"Selain itu juga berkemungkinan peminat kedua-dua pasukan yang bakal hadir berkurangan disebabkan tidak mahu mengambil risiko terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku, situasi ini sangat merugikan kerana pendapatan hasil daripada jualan tiket mungkin berkurangan berbanding sebelum ini apabila pasukan bermain pada waktu malam.

"Penyokong yang mahu hadir ke stadium juga terpaksa mengejar masa kerana ada yang masih bekerja pada waktu perlawanan berlangsung berbanding sebelum ini ketika pasukan bermain pada waktu malam.

"Jadi kami meletakkan harapan yang tinggi agar pihak MFL dapat mengkaji semula dengan membenarkan aksi pada waktu malam," katanya ketika dihubungi.

Semalam Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd kecewa selepas permohonannya untuk beraksi pada sebelah malam membabitkan pertempuran dengan skuad The Red Warriors ditolak MFL atas beberapa faktor.

Disiarkan pada: May 11, 2023 @ 1:20pm
d