Bola Sepak

Negeri Sembilan azam sekat KL City

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) bertekad untuk tampil dengan kekuatan baharu dalam misi melakar kemenangan ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC, pada pertembungan saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Selepas tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi terdahulu di gelanggang sama, pasukan itu mahu memastikan tiga mata tidak lagi tercicir.

Penyerang berpengalaman pasukan itu, Mahali Jasuli berkata, skuad Hobin Jang Hobin tidak boleh mensia-siakan peluang sebaliknya perlu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan tiga mata.

Dia dan rakan sepasukan sedar sebarang kekalahan akan meletakkan pasukan itu dalam situasi sukar dan boleh menjejaskan reputasi besar yang pernah dicapai musim lalu.

"Kami sedang memberi fokus kepada perlawanan menentang KL City dan mahu memastikan persembahan lebih mantap dapat diperagakan kerana kelebihan beraksi di tempat sendiri ini perlu diterjemahkan dengan kemenangan.

"Fokus utama kami adalah mendapatkan tiga mata selepas keputusan dalam tiga aksi sebelum ini tidak begitu memberangsangkan.

"Namun, saya yakin semua pemain akan memberikan persembahan terbaik dan mengerah segala kekuatan untuk mendapatkan kemenangan demi meletakkan pasukan dalam kedudukan yang lebih baik dalam carta," katanya hari ini.

Bekas pemain kebangsaan itu yang kini sudah meledak satu gol setakat ini, yakin dan percaya dengan strategi ketua jurulatih K Devan untuk mengenepikan cabaran anak buah Bojan Hodak.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 6:15pm
d