Bola Sepak

Skuad Jang kembali raih kemenangan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) membuktikan moral pasukan itu masih tinggi apabila berjaya melakar kemenangan ke atas Kuala Lumpur ( KL) City FC, 2-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan sepatutnya berakhir pada 11 Mac lalu namun pertembungan kedua-dua pasukan terpaksa ditangguhkan susulan hujan lebat dan padang ditakungi air selepas aksi itu memasuki minit ke-27.

Pada sebahagian tempoh separuh masa pertama malam ini, menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan rentak berhati-hati.

Percubaan terbaik Negeri Sembilan adalah pada minit ke-35 menerusi Sean Eugene Selvaraj dari sebelah kiri pintu gol KL City.

Bagaimanapun, tendangan deras dari luar kawasan penalti itu sedikit tersasar meskipun bola melepasi jangkauan penjaga gol pelawat Muhammad Azri Abd Ghani, untuk menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Skuad Hobin Jang Hobin yang menyandarkan harapan kepada Sean dan Mahali Jasuli di bahagian serangan tanpa penyerang import mereka, Casagrande yang tidak tersenarai, jelas kurang berbisa apabila tidak dapat menguji benteng pelawat dengan percubaan tepat dan merbahaya.

Bagaimanapun kemasukan Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-60, berjaya mengubah sedikit corak persembahan jentera serangan skuad bimbingan K Devan itu.

Usaha pasukan tuan rumah untuk mendapatkan gol akhirnya berhasil menerusi satu hantaran dari pemain gantian A Selvan ke kawasan gol dan bola berjaya ditanduk kemas kapten pasukan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-73 untuk gol pertama Negeri Sembilan.

Pelawat bagaimanapun tidak menunggu lama apabila pemain gantian Zhafri Yahya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-84 selepas memanfaatkan bola sepakan Paulo Josue dari sepakan bola mati dengan menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Bagaimanapun pada minit ke-87, Negeri Sembilan kembali di depan menerusi gol kedua jaringan Safuwan Baharuddin yang bijak memanfaatkan bola sepakan sudut diambil Zaquan Adha.

Jaringan kemenangan pemain import dari Singapura itu menceriakan penyokong Negeri Sembilan selepas tiga aksi sebelum ini sekadar mencatatkan dua seri iaitu ketika menentang Perak FC dan Sabah FC serta satu tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Disiarkan pada: May 14, 2023 @ 10:57pm
d