Bola Sepak

Lukaku akan jadi senjata Inter

Oleh AFP

Milan: Romelu Lukaku yang kembali ke prestasi terbaiknya memberikan Inter Milan senjata tambahan menjelang penentuan separuh akhir Liga Juara-Juara Selasa inidengan AC Milan.

Di belenggu kecederaan sepanjang musim ini selain reputasi merudum di Piala Dunia, Lukaku perlahan-lahan berusaha untuk kembali ke prestasi terbaiknya.

Penyerang Belgium itu meledak lima gol, membantu tiga dalam enam perlawanan terakhir dan menjaringkan dua gol ketika mereka menang 4-2 ke atas Sassuolo menyerlahkan lagi keyakinannya.

Lukaku meraikan hari jadinya yang ke-30 dengan meledak dua gol pada babak pertama dan kedua di San Siro, menjadikan jumlah gol keseluruhan yang diciptanya kepada lapan.

Berdasarkan prestasinya dia mungkin akan memulakan perlawanan Selasa ini di mana Inter akan berusaha untuk mempertahankan kelebihan 2-0 pada separuh akhir pertama untuk mara ke final Liga Juara-Juara yang pertama sejak kali terakhir memenanginya di bawah kendalian Jose Mourinho 13 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, kemungkinan besar pemain berpengalaman Edin Dzeko akan bergandingan dengan Lautaro Martinez di barisan hadapan dalam perlawanan itu dengan Lukaku akan masuk sebagai pemain gantian.

"Sudah tentu setiap pemain mahu diturunkan tetapi jurulatih perlu membuat pilihannya untuk pasukan," kata Lukaku

"Seperti yang selalu saya katakan, perkara paling penting ialah Inter dan itulah sebabnya saya memberikan yang terbaik untuk pasukan."

Ketua Pegawai Eksekutif Inter, Beppe Marotta berkata Lukaku mungkin akan kekal di Inter musim depan tetapi bergantung kepada Chelsea pengendali baru mereka.

Peminat Inter mempunyai alasan kukuh untuk terus yakin dengan peluang pasukan mereka kerana mendahului dengan selesa selepas perlawanan pertama disamping mempamerkan prestasi yang baik.

Inter kendalian Simone Inzaghi memenangi tujuh perlawanan berturut-turut, meledak 20 gol menjelang aksi penentuan bertemu AC Milan esok.

Milan yang dikendali Stefano Pioli pula hadir dengan kekalahan memalukan di tangan Spezia

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 12:03pm
d