Bola Sepak

NSFC terpaksa lupakan seketika khidmat Goulon

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan kental, Herold Mark Goulon, sehingga ke penghujung saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua jurulatih NSFC, K Devan berkata, situasi itu kemungkinan berlaku berikutan pemain import berusia 34 tahun berasal dari Perancis itu menghadapi masalah kesihatan yang agak serius.

"Dia ada masalah kesihatan yang agak serius dan boleh menjejaskan tahap prestasinya, malah perlukan pembedahan, kalau tidak membuat pembedahan mungkin akan memberi kesan.

"Kita sudah jumpa dan berbincang dengan pihak doktor mengenai kesihatan beliau dan akan cuba berunding dengan beliau, ia bergantung kepada dirinya sendiri (kedudukan dalam pasukan).

"Dia perlu mengambil tindakan dan menyelesaikan masalah kesihatan dihadapinya dan kemudian perlu dapatkan kembali tahap prestasi terbaik untuk membolehkan kembali berada dalam pasukan.

"Namun, jika mengambil masa yang panjang mungkin kita perlu fikirkan (tindakan selanjutnya," katanya di sini, hari ini, mengulas mengenai ketiadaan Goulon dalam aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, Ahad lalu.

Kali terakhir pemain bertubuh sasa itu diturunkan beraksi pada 11 April lalu ketika Negeri Sembilan melayani kunjungan Sabah FC, dengan perlawanan berkenaan berkesudahan seri 1-1.

Goulon yang setakat ini sudah menjaringkan tiga gol musim ini adalah tonggak penting buat skuad Hobin Jang Hobin kerana dia bukan sahaja boleh beraksi di bahagian pertahanan malah berupaya bertindak cemerlang di bahagian tengah dan serangan.

Disiarkan pada: May 16, 2023 @ 1:43pm
d