Bola Sepak

Dua cabaran getir menanti Sang Kenari

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar : Dua aksi perlawanan seterusnya berdepan Selangor FC dan Sabah FC adalah cabaran getir yang perlu dilalui Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi memastikan mereka kekal dalam kelompok teratas Liga Super pada masa ini.

Selangor FC yang kini berada pada kedudukan tangga ke-2 Liga Super dengan 25 mata bakal menjadi lawan terdekat KDA FC di tempat lawan Rabu ini manakala Sabah FC yang sedang mengekori rapat KDA FC dengan jumlah 21 mata dan menduduki tangga ke-5 pula bakal berkunjung ke Alor Setar pada 2 Jun depan.

Kapten KDA FC, Manuel Ott berkata tempoh singkat sebelum hari perlawanan menentang Selangor FC Rabu ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meneruskan misi kemenangan selepas menjinakkan Negeri Sembilan FC 2-1 dan Kelantan FC 5-0 sebelum ini.

"Selangor dan juga Sabah kini berada pada momentum dan kedudukan yang bagus pada musim ini dan ianya satu cabaran yang getir dan saya jangkakan pertemuan menentang kedua-dua pasukan itu nanti akan menjadi cukup sengit.

"Namun kami terlebih dahulu perlu memberi fokus terdekat dalam aksi menentang Selangor dan dengan masa yang ada ini kami mahu mempersiapkan perancangan dengan sebaik mungkin.

"Kemenangan 5-0 yang kami raih pada aksi menentang Kelantan FC ini satu permulaan cukup positif bagi pasukan dan setiap pemain sedang melakukan tugas dan kerja keras mereka dengan baik," katanya.

Ott juga berkata, di sebalik mendapat keputusan kemenangan yang diinginkan, beliau mahu setiap pemain terus memperbaiki aspek kelemahan bagi meningkatkan keupayaan yang ada pada pasukan.

Disiarkan pada: May 21, 2023 @ 12:35pm
d