Bola Sepak

Masalah kecederaan belenggu Sri Pahang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Masalah kecederaan membelenggu Sri Pahang FC menjelang pertemuan dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), Rabu ini.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata kecederaan itu membabitkan kapten pasukan, Sergio Aguero, Nor Azam Azih dan Lucas Silva.

"Setakat ini, saya belum dapat pastikan Aguero dapat bermain berdepan JDT Rabu ini, begitu juga Azam manakala Silva masih belum pulih daripada kecederaan.

"Kecederaan yang dialami Silva memerlukan tempoh yang panjang tetapi saya mengharapkan pemain lain mampu untuk beraksi dengan lebih baik.

"Pada masa sama, kita mahu Aguero beraksi kerana kelemahan ketara Sri Pahang ialah di bahagian tengah.

"Ketiadaan mereka (Aguero dan Azam) sudah pasti memberi kesan terhadap persembahan pasukan terutama berdepan JDT," katanya.

Namun, Fandi berkata, prestasi mantap yang dipersembahkan pemain tengah import dari Filipina, Kevin Ingreso ketika membantu menewaskan Penang FC 1-0 kelmarin, melegakannya.

Katanya, Ingreso mempamerkan prestasi terbaiknya mengawal jentera tengah selain membantu bahagian serangan.

"Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, dia berjaya melaksanakannya bersama pemain lain.

"Saya harap semua pemain dapat beraksi pada tahap terbaik untuk mendapat keputusan positif," kata lagenda sukan bola sepak Singapura itu.

Berdasarkan rekod, Sri pahang dan JDT belum lagi tewas selepas mengharungi 11 perlawanan Liga Super.

Disiarkan pada: May 22, 2023 @ 1:24pm
d