Bola Sepak

MFL serah laporan insiden pergaduhan kepada FAM

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan menyerahkan laporan mengenai insiden pergaduhan penyokong di Stadium Perak ketika aksi Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC pada Sabtu lalu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tindakan lanjut termasuk mengenakan hukuman yang difikirkan perlu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan rasmi daripada komisioner perlawanan sebelum ia diserahkan kepada FAM.

Katanya, selepas laporan lengkap diberikan kepada badan induk itu, ia kemudiannya akan di bawa ke Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan lanjut.

"Kini kita akan menunggu laporan dan menyerahkannya kepada Tatatertib FAM untuk menyiasat lebih lanjut dan mengambil tindakan yang perlu," katanya kepada Arena Metro.

Kelmarin, kekecohan berlaku di Stadium Perak apabila tercetusnya pergaduhan antara penyokong Perak FC dan Selangor FC ketika aksi Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan.

Aksi penyokong 'berkung fu' dan balingan botol tersebar di media sosial hingga menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai yang bimbang keselamatan kanak-kanak dan wanita yang hadir ke stadium ketika itu.

Jelas Stuart lagi, tiada kemalangan jiwa berlaku di mana pihak berkuasa berjaya menangani insiden itu dengan sebaiknya.

"Penyokong Selangor selamat berlepas malam tadi (kelmarin) selepas diselaraskan dengan baik oleh polis selepas perlawanan," katanya.

Untuk rekod, Perak FC kemungkinan bakal berdepan hukuman berat daripada Jawatankuasa Tatatertib sekiranya didapati gagal menyediakan tahap kawalan keselamatan yang optima.

Antaranya adalah denda atau beraksi tanpa penyokong untuk beberapa perlawanan di halaman sendiri.

s

Disiarkan pada: May 22, 2023 @ 1:30pm
d