Bola Sepak

Polis tahan individu cetus insiden perkauman terhadap Vinicius

Oleh AFP

Madrid: Polis Sepanyol menahan tujuh individu semalam kerana mencetuskan insiden berbaur perkauman dengan mengejek Vinicius Junior dari Real Madrid ketika menentang Valencia.

Penyerang itu menjadi sasaran peminat Valencia Ahad lalu, mencetuskan bantahan antarabangsa dan jawatankuasa bertindak mengarahkan penutupan Mario Kempes di stadium selama lima perlawanan dan mengenakan denda 45,000 euro (RM221,772) ke atas Valencia.

Liga bola sepak Sepanyol, La Liga, dilanda skandal perkauman selepas penyerang berusia 22 tahun itu diejek penonton tuan rumah berbaur perkauman semasa kekalahan 0-1 Madrid di Valencia yang kemudiannya menyaksikan dia dibuang padang.

Pemain sayap Real Madrid itu bagaimanapun dibebaskan daripada penggantungan kad merahnya yang diterima ketika menentang Valencia.

Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan bola sepak Sepanyol itu berkata mereka menerima aduan daripada Real Madrid terhadap kad merah Vinicius kerana memukul pemain Valencia, Hugo Duro selepas menyemak rakaman video.

Pemain itu diejek oleh penyokong lawan sejak menyertai Real pada 2018 tetapi insiden terbaharu itu mencetuskan kemusykilan sama ada Sepanyol sudah cukup bertindak untuk menghapuskan isu perkauman dalam bola sepak.

Polis pada hari Selasa menahan tiga remaja di Valencia kerana "penghinaan dan gerak isyarat dengan nada perkauman" terhadap pemain itu yang mencetuskan "dakwaan jenayah sehingga menimbulkan kebencian."

Sementara itu di Madrid, polis menahan empat lagi lelaki yang disyaki menggantung patung yang memakai baju Real Madrid dengan nombor Vinicius di atas jambatan awal tahun ini.

Boneka kembung berkulit gelap itu digantung di leher dari jambatan berhampiran tempat latihan Real Madrid beberapa jam sebelum pertembungan derby dengan Atletico Madrid pada 26 Januari.

Di atasnya terdapat sepanduk 16 meter bertulis 'Madrid benci Real', kata polis.

Penyiasat berkata tiga daripada suspek itu adalah "ahli aktif sekumpulan peminat radikal" yang sebelum ini dikenal pasti sebagai "berisiko tinggi" oleh ejen yang bekerja untuk mencegah keganasan bola sepak.

Disiarkan pada: May 24, 2023 @ 8:47am
d