Bola Sepak

KL City kempunan raih mata penuh

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) mensia-siakan peluang mengenggam tiga mata apabila diikat Kuching City FC 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, malam tadi.

Kegagalan mengutip mata penuh itu merugikan skuad The City Boys terutama dalam misi mengukuhkan kedudukan di carta Liga Super dengan kini menghuni tangga keenam dengan 19 mata.

Namun bagi Kuching City pula ia suatu keputusan yang baik sekaligus menamatkan badi kekalahan selepas gagal mengutip sebarang mata dalam lima aksi sebelum ini.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan gagal menemui jaringan sepanjang 45 minit babak pertama biarpun KL City dilihat lebih banyak menguasai aksi.

Tuan rumah akhir memecah kebuntuan di minit 85 pada babak kedua menerusi jaringan Kipre Tchetche.

Begitupun hasrat untuk meraih tiga mata dimusnahkan oleh penyerang prolifik lawan iaitu Abu Kamara pada masa kecederaan, buat mengecewakan Bojan Hodak dan anak buahnya.

Disiarkan pada: May 24, 2023 @ 11:26pm
d