Bola Sepak

'Kami ibarat kura-kura, JDT bagaikan arnab' - Manzoor [METROTV]

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Jika boleh saya katakan pasukan kami dengan JDT (Johor Darul Ta'zim) umpama cerita arnab dengan kura-kura, kami (Penang FC) ibarat kura-kura manakala JDT ibarat arnab, jadi nampak mustahil kura-kura nak menang lawan arnab.

"Tapi jika sudah tertulis pasukan kami berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir, ini mungkin rezeki kita, yang penting pemain perlu berusaha lebih gigih lagi biarpun beraksi di tempat lawan," ujar penolong jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid.

Beliau berkata demikian apabila pasukannya bakal berdepan tugas berat menentang gergasi Liga Malaysia (Liga M), JDT pada aksi suku akhir saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Ahad ini.

Bekas 'arkitek' skuad kebangsaan itu berkata, atas kertas peluang sukar buat pasukannya untuk memburu kemenangan lebih-lebih lagi skuad Harimau Selatan itu masih kekal dengan rekod tanpa kalah setakat ini selain beraksi di tempat mereka.

"Saya rasa berdepan dengan JDT adalah perlawanan yang sukar, jadi saya perlu seimbangkan pasukan dengan melakukan perubahan.

"Namun pertemuan dengan JDT adalah perlawanan yang berbeza, kita sampai ke suku akhir adalah pencapaian terbaik, cuma jika ada rezeki dapat tundukkan JDT, mungkin baik untuk kami, jika tewas kita tetap berpuas hati dapat melangkah hingga ke peringkat ini.

"Lagipun kami turun tanpa tekanan, pemain tekad memperagakan aksi terbaik, kita tidak akan mudah menyerah kalah, sebaliknya berjuang habis-habisan," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) yang memihak kepada TFC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi.

Mengulas pertemuan ke-12 Liga Super itu, Manzoor yang dibantu MD Noor MD Derus akui pasukannya tidak bernasib baik untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata selepas tumpas tipis kepada skuad tuan rumah hasil jaringan Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-74.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 12:53pm
d