Bola Sepak

NSFC rangka strategi berbeza berdepan Selangor

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas aksi kurang memberangsangkan ketika menentang Kelantan United FC pada pertembungan Liga Super, Selasa lalu, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) menjanjikan persembahan berbeza apabila melayani kunjungan Selangor FC, pada aksi suku akhir Piala FA, Sabtu ini.

Pertembungan di laman sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, itu nanti bakal digunakan sebaik mungkin oleh pemain Negeri Sembilan untuk memburu kemenangan.

Ketua jurulatih NSFC, K Devan berkata, beliau sudah bersedia untuk menurunkan barisan kesebelasan pemain terbaik dalam usaha menyekat penguasaan skuad Gergasi Merah sekali gus membawa Negeri Sembilan mara ke peringkat separuh akhir.

"Selain Shahrel Fikri Md Fauzi, Safuwan Baharuddin dan Levy Madinda, saya juga mungkin akan dapat menampilkan semula Casagrande bagi memantapkan jentera serangan.

"Saya akan turunkan barisan yang berbeza ketika menentang Selangor nanti berbanding pemain yang beraksi pada pertembungan dengan Kelantan United tempoh hari.

"Daripada faktor itu, pemain NSFC akan mempamerkan persembahan yang berbeza dalam usaha melepasi halangan suku akhir saingan kalah mati itu," katanya di sini, hari ini.

Menurut Devan, beliau akan membuat persiapan rapi untuk beraksi 90 minit dan mungkin lebih dan pemain juga sedar tempoh perlawanan itu akan jadi penentu siapa yang layak ke separuh akhir.

Pengendali yang membawa Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim 2021 itu yakin anak buahnya akan bertindak lebih agresif serta fokus sepanjang tempoh permainan kerana ia saingan kalah mati dan tidak mahu mensesiakan peluang.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 12:55pm
d