Bola Sepak

United kembali ke UCL

Oleh AFP

Manchester, United Kingdom: Erik ten Hag berkata Manchester United kembali prestasi asal mereka selepas membelasah Chelsea 4-1 awal pagi tadi dan kembali mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Casemiro, Anthony Martial, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford menjaringkan gol untuk The Red Devils naik ke tangga ketiga Liga Perdana.

Malam yang menyimpulkan kesedihan Chelsea walaupun membelanjakan lebih £500 juta (RM2.8 bilion) sewaktu pasaran perpindahan, prestasi mereka terus merosot apabila mengalami kekalahan kelapan dalam 10 perlawanan sejak Frank Lampard kembali sebagai pengurus sementara.

Sebaliknya, pengesahan penamat empat teratas menamatkan musim pertama yang berjaya buat Ten Hag yang turut membawa United menamatkan kemarau trofi selama enam tahun dengan memenangi Piala Liga pada Februari.

Lebih banyak trofi akan diperoleh bulan depan sekiranya United berjaya menggagalkan usaha Manchester City ke arah treble dalam perlawanan akhir Piala FA.

Tetapi kembali ke saingan elit Eropah musim depan adalah salah satu matlamat utama Ten Hag apabila dia mengambil alih tampuk pemerintahan selepas kempen buruk United pada 2021/22 sekali gus menyaksikan mereka berada di kedudukan keenam.

"Saya fikir (ia adalah) musim yang berjaya tetapi musim ini belum selesai," kata Ten Hag.

"Kelab ini layak ke Liga Juara-Juara, tetapi liga ini sangat kuat dengan banyak kelab bersaing untuk kedudukan ini.

"Ia adalah objektif utama musim ini untuk layak ke Liga Juara-Juara. Persaingan adalah sukar, banyak pasukan dengan skuad yang sangat bagus, pengurus yang baik, jadi anda melakukan kerja yang baik (untuk layak). Buat masa ini ia adalah maksimum tetapi kami mahukan lebih banyak lagi (musim depan)."

Ketibaan Casemiro dari Real Madrid menjadi asas kepada kebangkitan United.

Kemampuan pemain berusia 31 tahun dan pengalamannya ketika menentang pasukan muda Chelsea berjaya menghukum lawan kerana kurang cekap di kedua-dua kotak penalti.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 7:57am
d