Bola Sepak

Penyokong Kelantan mula hilang nafsu?

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Kekalahan demi kekalahan yang dialami dua pasukan Kelantan, Kelantan FC dan Kelantan United Football Club (KUFC) dilihat semakin parah apabila mula memberi kesan kepada penyokong kedua pasukan.

Penyokong dilihat semakin hilang nafsu untuk terus menyokong pasukan apabila kehadiran mereka semakin merosot ke stadium sejak akhir-akhir ini.

KUFC sekadar mampu meraih 200 kehadiran penyokong ke stadium manakala Kelantan FC mencatat kehadiran terburuk penyokong dalam sejarah apabila hanya 851 penyokong hadir ke stadium pada perlawanan Liga Super menentang PDRM FC, Selasa lalu.

Banyak ruang kosong di bahagian terbuka dan astaka di Stadium Sultan Muhammad IV dilihat selain hanya sorakan kelab penyokong Gate H Boys kedengaran sepanjang 90 minit perlawanan.

Penyokong, Mohamad Khamarol Arif Shabry, 37 berkata, penyokong setia sewajarnya tetap hadir ke stadium bagi memberi sokongan walaupun pasukan berdepan kekalahan dan masalah dalaman.

Katanya, baginya dia tidak mengambil pusing isu dalaman pasukan kerana hanya mengharapkan kemenangan.

"Bagi peminat bola sepak, memang kemenangan yang kami mahukan, harap lepas ni pasukan catat keputusan lebih baik," katanya yang membeli pas tahunan dan menjadi penyokong TRW sejak 2004.

Bagi Aiman Asyraf Rosli, 17 dia masih menaruh kepercayaan untuk pasukan Kelantan berada di 10 kelompok terbaik liga.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 2:14pm
d