Bola Sepak

Sri Pahang dijangka bawa masuk pemain import baharu

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Sri Pahang FC yang berada di kedudukan ketiga Liga Super ketika ini dikatakan bakal membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan kedua, Julai depan.

Difahamkan, kemasukan pemain itu bagi memperkasakan jentera serangan dan tengah yang dilihat perlu jika mahu kekal berada di kelompok tiga terbaik saingan Liga Super musim ini.

Menurut sumber Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), setakat ini, seorang pemain import yang beraksi di bahagian tengah akan dibawa masuk.

"Kita boleh sahkan bahawa Sri Pahang akan membawa masuk seorang pemain import dari Asia yang bermain di posisi tengah

"Pemain ini memang berpengalaman dan kehadirannya dalam pasukan bagi memantapkan lagi jentera tengah serta membantu menajamkan lagi jentera serangan.

"Berdasarkan prestasi dan persembahan yang dipersembahkan selepas 12 perlawanan Liga Super, kelemahan ketara di bahagian tengah," kata sumber itu.

Difahamkan, keputusan membawa masuk pemain import tengah kerana posisi itu dikatakan tidak begitu memberi impak terutama membantu jentera serangan.

Ia dapat dilihat jika dua atau tiga pemain tengah tidak dapat disenaraikan kerana mengalami kecederaan atau penggantungan.

Kelemahan ketara apabila khidmat kapten pasukan, Sergio Aguero dan Kevin Ingreso serta Nor Azam Azih tidak dapat ditagih.

Disiarkan pada: May 28, 2023 @ 1:27pm
d