Bola Sepak

PFAM sedia 'bela' pemain Kelantan FC

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Isu kelewatan gaji dan pemotongan gaji membabitkan pemain Kelantan FC akan diambil tindakan segera oleh Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Perkara itu dinyatakan Eksekutif Undang-Undang PFAM, Syafiq Jebat selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama dua pemain Kelantan FC iaitu Farhan Abu Bakar dan Afzar Akbar di sini, hari ini.

Katanya, isu pokok yang menghantui pemain adalah berkenaan hal kontrak di mana mungkin wujud pelanggaran kontrak.

Jelasnya, pihaknya memiliki prosedur untuk cuba memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang bola sepak.

"Secara umum masalah ini timbul sebab isu kontrak, benda-benda ini saya tidak katakan rumit tetapi ada masalah yang boleh dikatakan ada pelanggaran dalam kontrak.

"Isu kontrak kita ada prosedur yang boleh kita ambil untuk langkah seterusnya. Kita boleh buat sedemikian (bertemu atau menghantar surat kepada Kelantan FC) cuma kita terima laporan, kita proses apa sepatutnya.

"Tidak ada masalah untuk bincang cuma paling penting sekarang kita jaga pemain. Kita mahu dapatkan penyelesaian terbaik untuk pemain," katanya yang ditemui di pejabat PFAM.

Menerusi laporan Arena Metro, pemain Kelantan didakwa hidup dalam tekanan apabila dihimpit dengan komitmen bulanan ekoran kegagalan mendapatkan gaji penuh setiap bulan.

Situasi itu nyata menekan pemain-pemain TRW pada setiap hujung bulan yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup, malah ada di antara mereka kehilangan kereta selepas ditarik oleh pihak bank.

Arena Metro berjaya mendapatkan penjaga gol Kelantan FC, Farhan Abu Bakar yang berkongsi kisah sedih apabila gaji tertunggaknya tidak dibayar penuh, sebaliknya dia diminta oleh pihak pengurusan untuk memohon duit pendahuluan "advance".

Jelas Farhan, tindakan untuk memohon wang pendahuluan itu agak pelik kerana pasukan itu berhutang dengannya apabila ada tunggakan gaji yang belum dijelaskan.

Mengulas lanjut, Syafiq menjelaskan apa juga tindakan berlandasan saluran bola sepak dan bakal babitkan pemegang taruh seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta kelab terbabit.

"Kita cuba dulu macam mana dan akan bincang dengan pemegang taruh. Kita akan selesaikan dengan cara terbaik, mungkin perlukan masa namun kita cuba secepat mungkin.

"Kita perlu habiskan dulu apa-apa dalam lunas bola sepak, selepas itu baharu kita ke tempat lain kalau tidak dapat selesaikan. Tujuan PFAM sendiri

untuk lindung pemain dari masalah seperti ini, kita mahu liga kita maju ke depan, jadi bertindak secara profesional adalah kewajiban.

"Kalau kita nak sama-sama maju, kita kena sama-sama cermin diri kita apa yang boleh baiki terutamanya untuk bertindak secara profesional," katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2023 @ 4:26pm
d