Bola Sepak

Syihan teruja bantu JDT lakar sejarah

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Penjaga gol, Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, cukup teruja selepas membantu pasukan itu melakar sejarah tersendiri apabila mencipta kejayaan menamatkan saingan pusingan pertama saingan Liga Super dengan 13 kemenangan tanpa sebarang kekalahan dan keputusan seri.

Bagi penjaga gol kelahiran Kelantan yang musim pertama bersama skuad Harimau Selatan selepas berhijrah dari Negeri Sembilan itu, usaha dah kerjasama berpasukan membantunya mencatat 12 `clean sheet' dari 13 perlawanan yang diharungi.

Malah dia berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi peluang buatnya menyarung jersi Harimau Selatan dan tanpa sokongan rakan sepasukan yang kerap memberi tunjuk ajar sudah pasti sukar untuk dirinya memperaga aksi terbaik buat pasukan itu.

"Sebagai pemain Syihan bersyukur sangat-sangat dengan rezeki yang Allah bagi. Berterima kasih juga pada Tunku Mahkota Johor dan juga kepada semua player JDT yang banyak bantu Syihan mencatatkan keputusan cemerlang setakat ini.

"Terima kasih kepada semua pemain bukan sahaja di barisan pertahanan tetapi di semua bahagian yang banyak membantu. Latihan bersama jurulatih penjaga gol di sini sangat berbeza dan Syihan kena sentiasa fokus dan beri 100 peratus dalam latihan dan perlawanan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dia juga tidak menafikan prestasinya sepanjang berada di JDT tampak meningkat selepas dibimbing oleh jurulatih penjaga gol, Jon Elorza Dominguez yang mementingkan fokus dalam latihan dan perlawanan malah banyak teknik-teknik baharu didedahkan bagi memantapkan lagi untuk menjaga gawang.

Ditanya berhubung tindakan meluru untuk meleraikan pergeseran antara beberapa pemain JDT dan Penang FC itu pada aksi liga, malam tadi, dia menjelaskan usahanya hanya sekadar mengelak daripada perkara yang lebih buruk berlaku.

"Tiada provokasi cuma Syihan cuba melindungi rakan sepasukan untuk mengelak daripada berlaku pergaduhan kerana kami mempunyai jiwa sebagai satu pasukan dan ia sekadar satu perlawanan dan tidak perlu untuk ada insiden yang boleh mencemarkan liga kita.

"Tamatnya pusingan pertama dan JDT meraih keputusan yang baik maka kami akan berusaha untuk meneruskan kesinambungan kejayaan itu walaupun sedar ia cukup berliku tapi kami berusaha bagi mencapai kejayaan buat JDT," kata Ahmad Syihan.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 11:28am
d