Bola Sepak

Pemain bola sepak nak bertunang punca bergaduh

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain bola sepak ingin bertunang dengan wanita lain dalam tempoh terdekat ini kemungkinan menjadi punca pergaduhan hingga menyebabkan individu terbabit bertindak mencederakan kekasihnya kelmarin.

Menurut sumber, difahamkan kekasih pemain bola sepak terbabit yang juga seorang doktor menemui lelaki berkenaan di sebuah hotel sebaik mengetahui perkara itu sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya, wanita terbabit cuba memujuk pemain bola sepak itu namun lelaki itu bertindak kasar dengan dengan memukul, mencekik, menggigit lengan sebelum mencampaknya ke lantai.

"Selepas mengetahui pemain bola sepak itu sebenarnya mahu bertunang dengan individu lain, wanita berkenaan nekad mahu berjumpa untuk berbincang kerana sebelum ini lelaki itu tidak pernah memberitahu bahawa dia mahu bertunang.

"Pemain bola sepak berkenaan mengenali wanita itu kita berpindah ke pasukan baharu dan sudah menjalinkan hubungan sejak beberapa bulan lalu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan seorang bekas pemain kebangsaan dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka baru-baru ini.

Pemain terbabit yang masih aktif beraksi bersama sebuah pasukan terkemuka itu dikatakan sering melakukan perbuatan terbabit sehingga menyebabkan kekasihnya yang juga seorang doktor bertindak mendedahkan perkara itu kepada umum.

Perbuatan terbabit menyebabkan wanita berkenaan mengalami lebam di tangan dan beberapa kesan calar sebelum mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

Berikutan itu, pemain bola sepak berusia 31 tahun disyaki menyebabkan kecederaan kepada teman wanitanya dalam kejadian di sebuah hotel di sini, ditahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan jam 6 petang semalam sebelum mengambil tindakan susulan.

Disiarkan pada: June 9, 2023 @ 1:55pm
d