Bola Sepak

Harimau Malaya mudah atasi Kepulauan Solomon

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemain skuad kebangsaan membuktikan ranking lebih rendah bukan halangan apabila menang 4-1 ke atas Kepulauan Solomon pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.

Pada perlawanan berintensiti tinggi itu, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang berada di ranking ke-138 dunia tidak berdepan masalah menumpaskan skuad kendalian Felipe Vega Arango yang menduduki ranking ke-134.

Kemenangan itu yang ketiga dalam aksi persahabatan antarabangsa tahun ini selepas menumpaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Mac lalu.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pasukan pelawat, Raphael Le Ai berpunca kealpaan benteng pertahanan negara pada minit ke-11.

Skuad negara menguasai awal permainan termasuk sepakan percuma penyerang, Paulo Josue pada minit ketiga.

Ketika Harimau Malaya kerap menekan pelawat, hasil serangan pantas, Le Ai mengejutkan 12,500 penyokong apabila menolak mudah untuk pelawat mendahului 1-0.

Jaringan pemain kelab Velez Mostar dalam Liga Bosnia itu hasil hantaran Mohammad Ali Mekawir selepas kealpaan benteng pertahanan skuad kebangsaan.

Usaha berterusan dan deretan peluang pasukan kebangsaan akhirnya membuahkan hasil apabila Josue merembat masuk pada minit ke-40 untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Pada masa kecederaan babak pertama, pemain paling muda negara, Arif Aiman Mohd Hanapi menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan pelawat, Calvin Ohasio, menjadikan kedudukan 2-1.

Memasuki minit ke-60, Pan-gon memasukkan tiga tenaga baharu, Safawi Rasid, Lee Tuck dan Akhyar Rashid bagi menggantikan kapten, Faisal Halim, Arif Aiman dan Endrick Dos Santos dengan tugasan kapten diserahkan kepada Matthew Davies.

Pemain gantian kelahiran Terengganu, Safawi membalas kepercayaan apabila menjaringkan gol menarik yang menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-76.

Pada masa kecederaan, Tuck menambah derita pelawat apabila menjaringkan gol keempat menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Perlawanan itu turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Disiarkan pada: June 14, 2023 @ 11:05pm
d