Bola Sepak

Selangor tak rela 'dibedil' PDRM kali kedua

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak rela menjadi mangsa 'tembakan' kali kedua PDRM FC pada pertemuan pusingan 16 Piala Malaysia, 18 Ogos depan.

Cheng Hoe berkata, pertemuan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu boleh dikatakan medan terbaik untuk membalas dendam selepas mereka tewas 0-1 pada pertemuan Liga Super awal bulan ini.

Namun, pengendali berusia 56 tahun itu lebih memikirkan untuk mempersiapkan barisan pemain terbaik bagi mengharungi perlawanan terbabit.

Beliau berkata, taktikal PDRM FC cukup berbahaya, sekali gus barisan pemain perlu berwaspada supaya tidak sekali lagi tersungkur pada pasukan terbabit.

"Saya tidak mahu menganggap atau melihat pertemuan pusingan awal Piala Malaysia menentang PDRM sebagai misi balas dendam kerana situasi terbabit akan mengganggu tumpuan barisan pemain.

"Sudah pastinya, skuad The Cops akan turun dengan strategi mereka, namun kami kena terima cara permainan pasukan terbabit dan bersiap sedia segala kemungkinan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, beraksi di Stadium MBPJ memberi kelebihan kepada kedua-dua pasukan kerana venue itu adalah 'home ground' bagi PDRM FC dan Selangor FC.

"Saya lihat tiada siapa untung atau rugi apabila beraksi di Stadium MBPJ. Perkara utama adalah tidak melakukan kesilapan mudah hingga memberi ruang dan peluang kepada pasukan lawan menjaringkan gol,"katanya.

Selangor yang sudah menjulang 33 kali Piala Malaysia dilihat antara pasukan pilihan yang mampu menggugat juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim ini.

Berdasarkan kepada laluan Selangor FC dan JDT menyaksikan kedua-dua pasukan kemungkinan akan mengulangi final Piala Malaysia tahun lalu dengan kemenangan berpihak kepada Harimau Selatan menerusi jaringan 2-1.

Disiarkan pada: June 20, 2023 @ 6:16pm
d