Bola Sepak

Peminat harap Harimau Malaya terus 'mengaum'

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Ribuan penyokong mula membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sejak 5.45 petang bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Harimau Malaya menentang Papua New Guinea, malam ini.

Walaupun pintu stadium dibuka bermula 6 petang, sebahagian penyokong bagaikan tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan bersejarah di stadium itu selepas Malaysia menang 4-1 ke atas Kepulauan Solomon, Rabu lalu.

Walaupun jumlah penonton dijangka berkurangan berbanding aksi persahabatan pertama kerana sehingga kini baharu mencecah 7,000, namun kemeriahan tetap dirasai lebih-lebih lagi Festival Harimau Malaya berlangsung di pekarangan stadium.

Peminat setia, Muhd Sabri Muda, 47, dari Marang, berkata, dia bersama rakannya Azmi Omar, 46, bertolak awal ke stadium kerana begitu teruja untuk menyaksikan perlawanan itu lebih-lebih tidak perlu menempuhi perjalanan jauh.

"Pengalaman ini pastinya tidak akan dilupakan apabila dapat menonton pemain Harimau Malaya beraksi di depan mata.

"Lebih-lebih lagi corak permainan Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon semakin matang dan berkualiti dan harap kita menang 3-0," katanya.

Mohd Ariffin Yusof, 41, berkata, antara sebab utama dia hadir menyaksikan perlawanan di stadium kerana dia adalah penyokong fanatik bola sepak Malaysia.

"Demi Harimau Malaya, saya bersama dua anak, Muhammad Aqeef Hariz, 13 dan Nur Alya Humaira, 11, sanggup hadir ke stadium sebagai tanda sokongan peminat fanatik.

"Terasa rugi jika tidak hadir lebih-lebih lagi beraksi di bumi Terengganu," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2023 @ 8:30pm
d