Bola Sepak

Josue mahu teruskan sentuhan pemusnah

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Saya harap tuah sama dapat mengiringi saya bersama KL City (Kuala Lumpur City FC) di venue sana nanti".

Itu harapan ketua pasukan KL City, Paulo Josue yang berharap dapat meneruskan sentuhan pemusnahnya apabila turun menentang Terengganu FC di separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Terengganu, Ahad ini.

Pada aksi persahabatan antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya di gelanggang keramat Terengganu FC itu, Josue berjaya mencipta sensasi apabila dia meledak empat gol dalam dua aksi masing-masing satu gol menentang Kepulauan Solomon dan melakar hatrik ke atas Papua New Guinea.

Jelas tonggak naturalisasi negara itu, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin boleh dikatakan venue yang membawa tuah buatnya, dan dia berharap tuah sama akan mengiringinya bagi meraih kemenangan ke atas skuad Penyu nanti.

Begitupun, pemain kelahiran Brazil itu akui bukan mudah untuk berdepan Terengganu FC yang bakal mendapat sokongan padu ribuan penyokong.

"Ia benar memang saya suka setiap kali beraksi di sana (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) kerana ia seolah bawa tuah buat saya.

"Sudah tentu saya harapkan tuah sekali lagi dapat bersama sama di separuh akhir nanti, tetapi ia bukan perlawanan yang saya boleh anggap mudah.

"Terengganu sebuah pasukan yang bagus dan kedua-dua pasukan juga mempunyai peluang seimbang untuk mencatat kemenangan. Namun saya percaya, jika kami fokus dan beri sepenuh tumpuan kami boleh lakukan sesuatu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ditanya mengenai kehadiran ribuan penyokong skuad Penyu dalam aksi itu nanti, Josue akui situasi itu tidak akan melemahkan pasukan di mana KL City pernah berdepan situasi sama ketika beraksi di Piala AFC musim lalu.

"Musim lalu di Piala AFC kami selalu bermain di tempat lawan menentang kelab Vietnam, India dan Uzbeskitan. Penyokong lawan cukup ramai waktu itu, tapi kami berjaya lepasi halangan dengan meraih kemenangan.

"Walaupun set pemain musim ini tidak sama seperti musim lalu, tapi saya harap pengalaman musim lalu itu akan di bawa apabila bertandang ke Terengganu nanti," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2023 @ 2:47pm
d