Bola Sepak

Fandi belum puas, Frank tinggalkan Kelantan dengan nota kekalahan

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Meskipun membelasah Kelantan FC dengan jaringan 5-0, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad belum puas dengan keputusan itu.

Katanya, pasukan banyak bermandi peluh sebelum menewaskan The Red Warriors yang hadir tanpa tonggak import.

"Babak pertama kurang baik, TRW banyak membuat serangan balik, kita juga terpaksa buat tiga penukaran.

"Pemain (Kelantan FC), ada keyakinan tapi tak jaringkan gol, kalau gol mungkin permainan akan berubah," katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu.

Fandi berkata, kemenangan itu terlalu awal untuk dirai kerana pasukan masih belum lengkap terutamanya membabitkan ketiadaan pemain utama yang mengalami kecederaan.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Frank Bernhardt meninggalkan pasukan dengan nota kekalahan selepas gagal mencipta sebarang kemenangan sejak mengemudi pasukan daripada Choi Moonsik.

Bernhardt, berkata pasukan terlalu muda dan tidak membuat pertahanan yang baik.

"Saya suruh pemain buat gerakan mudah, umpan lawan, kawalan, pertahan dan serangan balas tapi tak bagus, dua tiga pemain nampak letih.

"Apatah lagi bila kita berdepan import pelawat yang bersaiz lebih tinggi dan besar," katanya.

Pengendali dari Jerman itu berkata, dia juga menyerahkan nasibnya kepada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman samada kembali ke kerusi pengarah teknikal atau sebaliknya.

Disiarkan pada: June 24, 2023 @ 10:47am
d