Bola Sepak

Moses Atede perkukuh posisi tengah Sang Kenari

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Selepas mengikat penyerang sensasi, Ifedayo Olusegun, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan seorang lagi pemain import di posisi tengah, Moses Atede Jona untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kehadiran Moses Atede bersama KDA FC adalah antara langkah penyelesaian bagi mendapatkan seorang pemain tengah bertahan dalam memperkuatkan lagi benteng Sang Kenari.

Pemain berusia 25 tahun kelahiran Kaduna, Nigeria yang sebelum ini bersama pemenang Piala AFC 2021 Al-Muharraq SC itu juga bakal mengisi posisi tengah yang pernah digalas oleh Amirbek Juraboev, yang kini berubah posisi dan bertindak di ruang serangan.

"KDA FC mengumumkan ketibaan Moses Atede sebagai pemain tengah baharu pasukan Sang Kenari, mencapai persetujuan untuk mengikat kontrak bagi baki Liga Malaysia musim 2023. Moses Atede sebelum ini beraksi bersama pasukan Al-Muharraq Sports Club, Bahrain.

"Pemain berusia 25 tahun yang berasal dari Kaduna, Nigeria ini memiliki kerakyatan Bahrain dan akan didaftarkan sebagai pemain tengah kuota Asia pasukan Sang Kenari.

"Moses Atede juga pernah beraksi dengan kelab Al-Hidd SCC sebelum mula mencipta nama selama dua musim bersama Al-Muharraq SC . Kemuncak kerjayanya adalah sebagai pemenang Piala AFC musim 2021 bersama Al-Muharraq SC, kejohanan terbesar di Asia selepas Piala Asia," kata media KDA FC.

Aksi Atede dan juga Ifedayo bersama Sang Kenari pastinya menjadi sesuatu yang amat dinantikan penyokong Sang Kenari selepas jendela perpindahan pemain yang akan dibuka semula bermula 5 Julai depan.

Disiarkan pada: June 28, 2023 @ 5:48pm
d