Bola Sepak

Rice jalani pemeriksaan perubatan di Arsenal

Oleh Agensi

London: Kapten West Ham, Declan Rice akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum melengkapkan perjanjian bernilai £105 juta (RM621 juta) ke Arsenal selepas kedua-dua kelab mencapai persetujuan penuh susulan kemelut perpindahannya.

Kedua-dua kelab London itu melakukan tawar menawar mengenai struktur pembayaran £100 juta (RM592 juta) pertama.

Namun, mereka kini bersetuju dengan bayaran dilunaskan menerusi tiga ansuran dalam tempoh 24 bulan dan Rice akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum menandatangani kontrak.

Terma peribadi dengan bayaran minimum £250,000 (RM1.48 juta) seminggu turut dipersetujui.

Arsenal turut membenarkan Granit Xhaka berpindah ke Bayer Leverkusen dengan harga £21.5 juta (RM127 juta) sebaik Rice sah menjadi milik mereka.

Rice bukan pemain pertama hadir di Emirates pada musim panas ini dengan pengurus Mikel Arteta turut menambah bintang Jerman, Kai Havertz dalam senarai pemain tengahnya.

The Gunners berbelanja £65 juta (RM385 juta) untuk membawa Havertz dari kelab musuh London, Chelsea dan dia dijangka membentuk gandingan baharu di tengah bersama Rice dan kapten, Martin Odegaard.

Odegaard dijangka mengulangi peranannya di sebelah kanan selepas bertindak cemerlang pada musim 2022-23.

Rice pula akan bermain sebagai pemain tengah bertahan dengan Havertz dan Odegaard di kiri dan kanannya.

Pemain tengah England itu menghabiskan keseluruhan kariernya bersama West Ham, muncul daripada skuad belia sebelum membuat 245 penampilan bagi pasukan senior.

Dia turut beraksi 43 kali untuk England dan memainkan peranan penting dalam perjalanan mereka ke final Euro 2020.

Disiarkan pada: July 5, 2023 @ 12:46pm
d