Bola Sepak

Sediakan RM298 juta jika minat beli Maguire

Oleh Agensi

London: Manchester United sudah menetapkan harga untuk pemain berstatus bintang yang kurang disenangi penyokong kelab itu, Harry Maguire.

SunSport mendedahkan pemain pertahanan itu akan dipecat sebagai kapten Red Devils tidak kira sama ada dia meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini atau sebaliknya.

Maguire, 30, hanya melakukan 16 permulaan dalam semua saingan pada musim lalu dan berada di belakang Raphael Varane, Lisandro Martinez, Victor Lindelof serta Luke Shaw dalam turutan pemain pilihan pengurus.

Menurut Manchester Evening News, United meletakkan tanda harga £50 juta (RM298 juta) untuk mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan Maguire.

Ini pasti memberi kerugian besar kepada United yang mendapatkan pemain itu pada harga £80 (RM476.9 juta) daripada Leicester pada 2019.

Maguire dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham pada awal musim panas namun kelab London utara itu dipercayai mahu memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan Edmond Tapsoba atau Micky van de Ven.

Maguire masih mempunyai baki kontrak dua tahun bersama United.

Dia masih kekal pilihan dalam skuad England kendalian Gareth Southgate sepanjang tempoh 12 bulan yang lalu, walaupun kurang beraksi bersama kelab.

Tetapi bos Three Lions memberi amaran kepada Maguire pada Mei lalu sekiranya situasi sama berterusan, beliau tidak boleh lagi menyenaraikannya.

Disiarkan pada: July 10, 2023 @ 9:24pm
d