Bola Sepak

Cheng Hoe seru anak buah bangkit

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Barisan pemain Selangor FC diseru bangkit bagi menebus kekalahan sebelum ini apabila dijadual bertemu Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Jelas pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, bukan mudah untuk bangkit daripada kekecewaan lalu selepas tewas 0-1 di tangan Sri Pahang sebelum ini.

Begitupun, bekas pengendali Harimau Malaya itu mahu anak didiknya melupakan episod pilu minggu lalu itu dengan bangkit memburu keputusan positif di halaman sendiri nanti.

"Kita tahu untuk pusingan kedua cabaran cukup besar, kita perlu bangkit daripada kekalahan itu (tewas kepada Sri Pahang, Ahad lalu).

"Saya sebagai jurulatih masih lagi yakin dengan kemampuan setiap pemain dalam pasukan dan saya yakin kalau kita tingkatkan dari perlawanan ke perlawanan, akan lebih baik di masa akan datang.

"Sudah tentu selepas kekalahan itu, memang sukar untuk mana-mana pemain atau pasukan menerima kekalahan, tapi dalam bola sepak kita kena kuat untuk bangkit untuk aksi berikutnya," katanya.

Ketika ini, skuad Red Giants berada di tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan mengutip 34 mata, di mana pungutan mata itu sama dengan Sri Pahang.

Namun, Selangor memiliki kelebihan jaringan berbanding skuad Tok Gajah dan kemenangan ke atas Penang malam esok akan mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua.

Disiarkan pada: July 14, 2023 @ 4:24pm
d