Bola Sepak

Baddrol tinggalkan Sabah FC

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah FC hari ini mengumumkan pengunduran kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar atas sebab yang akan diumumkan kemudian.

Menerusi satu kenyataan petang ini, Sabah FC memaklumkan bahawa Baddrol akan meninggalkan peranannya sebagai Ketua Pasukan dan tidak lagi bersama pasukan sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini.

"Keputusan ini diambil melalui persetujuan bersama Baddrol, atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Beliau akan sentiasa menjadi legenda di Sabah FC. Segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah FC dan seterusnya menerajui Sabah ke AFC Cup 2023 akan sentiasa dikenang.

"Dengan keseluruhan 41 penampilan dan 13 gol, tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin. Nama Baddrol juga akan terpahat sebagai legenda di arena bola sepak Malaysia," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Sabah FC mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kejayaan Baddrol dalam apa juga bidang yang beliau ceburi.

"Kami sentiasa mengalu-alukan Baddrol kembali ke Sabah FC sebagai keluarga pada masa hadapan," katanya.

Penyerang berumur 35 tahun yang juga bekas pemain kebangsaan itu menyertai Sabah FC sejak akhir 2021 selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC.

Baddrol dijangka tampil kali terakhir pada perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, malam esok.

Disiarkan pada: July 14, 2023 @ 6:29pm
d