Bola Sepak

Pemain import TFC tiada kualiti?

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Susulan kegagalan Terengganu FC (TFC) mengutip mata penuh ketika berdepan PDRM FC Ahad lalu, Kelab Penyokong Bolasepak TFC menuntut pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan melakukan bedah siasat segera.

Malah kelab penyokong berkenaan juga menggesa pengurusan menggantikan pemain import yang tidak berkualiti ketika jendela kedua perpindahan pemain masih dibuka sehingga 1 Ogos ini.

Presiden kelab, Mohd Isa Che Arifin menegaskan, peminat setia mulai bosan dengan mutu persembahan pasukan kendalian jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner yang disifatkan tidak begitu meningkat.

Jelasnya, ketumpulan jentera serangan diketuai Ivan Mamut, Adisak Kraisorn dan Jordan Mintah perlu diatasi ketika saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) semakin hampir.

Katanya pertembungan dengan PDRM FC tiga hari lalu yang berakhir keputusan seri tanpa jaringan jelas membuktikan barisan peledak skuad Penyu kurang berbisa terutama selepas gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang.

"Jika dilihat perlawanan menentang PDRM FC, banyak kekurangan perlu diperbaiki terutama jentera serangan, kita tiada penyerang yang boleh menghasilkan gol walaupun peluang terhidang di depan mata.

"Malah semangat berpasukan juga dilihat semakin kurang, buktinya banyak peluang dipersiakan kerana kepentingan individu melebihi aksi berpasukan.

"Kami penyokong berharap pihak pengurusan dan kejurulatihan dapat melakukan sesuatu lebih baik lagi untuk perlawanan seterusnya sebelum penyokong menaikkan kain rentang kerana terlalu marah dengan prestasi pasukan tahun ini.

"Kami juga berharap pemain import yang tidak berkualiti terutama jentera serangan dapat digantikan dengan pemain baharu yang benar-benar mempunyai kualiti sebagai penyerang dan bukannya sekadar pelengkap pasukan," katanya.

Minggu lalu pihak pengurusan menamatkan kontrak pemain tengah Croatia, Domagoj Pusic dan digantikan dengan 'arkitek' skuad kebangsaan Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov selain meminjamkan dua pemain tempatan iaitu Faiz Nasir dan Azarul Nazarith Azhar kepada Kelantan United FC.

Disiarkan pada: July 18, 2023 @ 2:39pm
d