Bola Sepak

Tommy, Mintah dah tak gaduh lagi

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Saya harap perselisihan faham antara ketua jurulatih, Tommy (Tomislav Steinbruckner) dengan penyerang, Jordan Mintah yang berlaku sebelum ini sudah berakhir kerana ianya boleh merugikan pasukan," kata pengurus TFC, Mohd Fazil Wahab.

Terdahulu peminat setia TFC bagaikan dapat menghidu kemelut antara kedua-dua individu itu masih belum reda selepas penyerang import kelahiran Ghana itu tidak berada dalam senarai pasukan utama sehingga kini sebaliknya hanya bermain dengan skuad 'adik' Terengganu FC II (TFC II).

Kali terakhir Mintah beraksi bersama TFC pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 25 Jun lalu sebelum skuad Penyu tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Difahamkan selepas perlawanan itu, berlaku 'perang mulut' antara Tommy dan Mintah berhubung isu sepakan penalti sehingga menyaksikan penyerang berusia 28 tahun itu disisihkan dalam skuad TFC, malah kini tidak lagi menjalani latihan bersama skuad utama sebaliknya bersama pasukan liga divisyen dua itu.

"Pihak pengurusan sudah bertemu Tommy dan Mintah sebelum ini untuk menyelesaikan perselisihan faham antara kedua-dua individu itu selepas tamat separuh akhir Piala FA.

"Mereka sudah berdamai sekali gus menyaksikan kemelut itu sudah selesai, lagipun jurulatih dan pemain bertelingkah perkara biasa di padang dan ianya hanya seketika, jadi sekarang jika dia (Mintah) tidak diturunkan beraksi ianya adalah strategi ketua jurulatih."

Disiarkan pada: August 18, 2023 @ 2:28pm
d