Bola Sepak

FAM kecewa penyokong Penang FC, Kedah bertempur

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pergaduhan membabitkan segelintir penyokong Penang FC dan Kedah Darul Aman FC di luar Stadium Bandaraya di Pulau Pinang semalam cukup mengecewakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, insiden terbabit boleh dielakkan jika kedua-dua kumpulan menjaga sensitiviti dan adab ketika hadir ke stadium.

"Saya dah lihat video pergaduhan itu dan memang kita kecewa dengan apa yang berlaku. Patut penyokong kena jaga sensitiviti tidak kira sama ada penyokong tuan rumah mahupun penyokong pelawat yang datang ke tempat orang.

"Saya harap perkara sebegini tidak lagi berlaku dan suka saya ingatkan agar jaga sensitiviti dan adab tak kira dalam stadium mahupun di luar stadium selepas perlawanan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu, Penang tewas 1-2 kepada Kedah.

Begitupun 'aksi lebih panas' disajikan di luar stadium apabila segelintir penyokong kedua-dua pasukan bergaduh, sekali gus video insiden itu tular di laman sosial.

Ujar Azman lagi, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa terutamanya polis yang berjaya mengawal keadaan dengan pantas.

"Saya masih menunggu laporan daripada pegawai MC (Komisionor Perlawanan) dan kita akan lihat dari semua sudut.

"Apapun pihak polis bertindak pantas dan saya ucapkan terima kasih kerana dapat menyelesaikan insiden itu daripada jadi lebih buruk," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2023 @ 12:35pm
d