Bola Sepak

Tak mustahil NSFC sekat JDT

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas berjaya melepasi cabaran peringkat 16 saingan Piala Malaysia, fokus Negeri Sembilan FC (NSFC) kini terarah kepada persiapan saingan suku akhir, bulan depan.

Skuad Hobin Jang Hobin bakal membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada peringkat lapan pasukan terbaik menyaksikan aksi pertama berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 September, disusuli di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, pada 23 September.

Tekanan hampir pasti buat skuad bimbingan K Devan jika mengambil kira reputasi besar dimiliki JDT, namun juara tiga kali Piala Malaysia itu sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

"Bagi saya setiap kali bertemu JDT adalah semangat, iaitu semangat untuk bermain dengan lebih baik. Motivasi pemain tinggi bertemu JDT dan saya harap situasi itu kekal dan kita akan mencuba dengan lebih baik bagi mendapatkan hasil yang positif," kata Devan di sini, hari ini.

Menurutnya, meskipun JDT berada dalam kelas tersendiri namun bukan sesuatu yang mustahil buat pasukan bimbingannya untuk mencipta kejutan.

"Jika saya dapat turunkan semua pemain utama termasuk pemain import seperti Casagrande, Herold Guolon, dan mungkin Hein (Thet Aung) serta Shahrel Fikri dengan semuanya dalam kondisi yang baik, kita mungkin dapat mencipta sesuatu.

"Shahrel Fikri mungkin dalam tempoh dua minggu lagi dia boleh beraksi semula dan berharap prestasinya mencapai terbaik," kata pengendali kelahiran Bahau itu.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan ini sememangnya banyak memihak kepada skuad kendalian Esteban Scolari itu, tetapi tidak mustahil kejutan boleh berlaku jika pemain NSFC dapat memperbaiki setiap kelemahan yang ada.

Disiarkan pada: August 23, 2023 @ 2:59pm
d