Bola Sepak

JDT tak akan menyerah kalah - TMJ

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap bermotivasi untuk mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini biarpun diundi dalam kumpulan sukar.

Perkara itu diakui pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkan skuad Harimau Selatan bakal berdepan halangan getir selepas diletakkan dalam Kumpulan I bersama kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Selain itu, dua lagi kelab hebat iaitu Kawasaki Frontale dari Jepun dan BG Pathum United (Thailand) melengkapkan saingan di kumpulan itu.

Ujar Tunku Ismail, meskipun dua lagi kelab dari rantau Asean iaitu Lion City Sailors (Singapura) dan Buriram United (Thailand) dilihat berada dalam kumpulan mudah, namun JDT tidak akan menyerah kalah dan akan bermain seperti biasa.

"Kumpulan sukar. Lion dan Buriram dalam kumpulan senang. Tetapi tiada masalah, kita akan lawan macam setiap tahun. Tidak akan menyerah. Demi Johor, JDT akan melakukan yang terbaik," ujarnya yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Sementara itu, pengendali JDT, Esteban Solari menganggap pasukannya sebagai underdog dalam Kumpulan I kali ini.

"Walaupun JDT menghadapi kempen yang baik pada musim lalu, kali ini kita bakal berdepan dengan format lain, jadi bagi saya ia akan menjadi sukar buat kita.

"Saya rasa pasukan-pasukan lain dalam kumpulan ini adalah pilihan dan kami akan bergelut untuk mendapatkan mata daripada mereka," katanya.

JDT yang cemerlang pada kempen lalu dengan mara ke pusingan 16 terbaik dijadual membuka saingan menentang Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim pada 19 September ini.

Disiarkan pada: August 25, 2023 @ 4:20pm
d