Bola Sepak

Insiden cium, Jenni lancar mogok dari tugasan antarabangsa

Oleh AFP

Barcelona: Pemain tengah wanita Sepanyol Jenni Hermoso berkata dia berasa seperti diserang oleh Presiden Persekutuan Bolasepak negara itu, Luis Rubiales yang memaksa menciumnya selepas perlawanan akhir Piala Dunia.

"Saya berasa terdedah dan menjadi mangsa serangan, tindakan impulsif, macho, tanpa kerelaan daripada saya. Saya tidak dihormati," kata Hermoso dalam satu kenyataan di media sosial.

Rubiales dikecam di seluruh dunia sejak perlawanan akhir pada Ahad lalu tetapi enggan meletakkan jawatannya pada Jumaat lalu ketika mesyuarat tergempar Persekutuan bola sepak Sepanyol (RFEF) berlangsung.

Tindakan itu mendorong Jenni dan 80 pemain lain melancarkan mogok daripada tugasan pasukan kebangsaan sehingga "kepimpinan" bertukar, manakala pemain Pachuca, 33, turut memberi komen buat kali pertama mengenai insiden itu.

"Kata-kata Rubiales yang menjelaskan kejadian malang itu adalah palsu dan sebahagian daripada budaya manipulatif yang dia sendiri hasilkan," tulis Jenni.

"Saya ingin menjelaskan bahawa pada masa yang sama tiada perbualan berlaku yang (dia) rujuk, lebih-lebih lagi adalah ciuman yang tidak dipaksa. Saya ingin mengulangi, seperti yang saya lakukan pada masa itu, bahawa ia berlaku tanpa keinginan saya."

Jenni berkata dia berasa terkejut dan selepas memikirkannya berkata dia ingin menjelaskan dengan jelas bahawa tiada siapa yang layak menjadi mangsa jenis kelakuan tanpa persetujuan ini, yang mana ia berlaku "tanpa toleransi."

"Saya yakin sebagai juara dunia kita tidak layak menerima budaya yang begitu manipulatif, bermusuhan dan mengawal," sambung Jenni.

Disiarkan pada: August 26, 2023 @ 10:26am
d