Bola Sepak

Harimau Malaya jangan terlalu selesa - Hamidin

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya diingatkan tidak terlalu selesa biarpun berjaya mengelak daripada berada dalam kumpulan maut pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang bakal membuka saingan November ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kesemua pasukan dalam Kumpulan D terdiri daripada Oman, Kyrgyzstan dan pemenang antara Taiwan atau Timor Leste yang akan beraksi terlebih dulu di pusingan pertama, di mana kesemua lawan terbabit memiliki keupayaan seimbang untuk melepasi saingan itu.

Justeru, Hamidin mahu persiapan rapi dirangka dengan sebaiknya agar sasaran untuk muncul selaku dua pasukan terbaik daripada kumpulan itu berjaya, sekali gus layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 serta meraih secara automatik tiket ke Piala Asia 2027.

"Mungkin ramai peminat anggap ini peluang kita untuk menang. Kita bersama dengan Oman, Kyrgysztan dan Taiwan ataupun Timor Leste.

"Tetapi saya tidak memandang rendah bahawa sesiapun lawan kita bakal menjadi masalah kepada kita sekiranya kita tidak membuat persiapan di peringkat awal.

"Undian itu mungkin nampak pasukan agak mudah kerana kita tidak berjumpa dengan Korea, Jepun, Iran ataupun Arab Saudi," katanya pada Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) di Stadium Mini UiTM Shah Alam, di Shah Alam, semalam.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia akan memulakan cabaran menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum bertemu pemenang antara Taiwan atau Timor Leste pada 21 November di gelanggang lawan.

Manakala baki empat lagi perlawanan akan berlangsung timbal balik, masing-masing pada Mac dan Jun 2024 depan.

"Saya maklum kepada Kim Pan-gon (jurulatih negara) kita kena persiapkan rumah kita dahulu. Pasukan kita haruslah mantap. Kita juga harus melihat beberapa siri persahabatan atau kejohanan pada September, Oktober dan November ini dan sampai Jun tahun depan.

"Sudah tentu kita mahu layak secara merit menjadi dua pasukan terbaik dalam Piala Asia. Bukan mudah kalau tiada persiapan rapi, jadi kita harus persiapkan pasukan," katanya.

Selain misi untuk layak kali kedua berturut-turut ke Piala Asia pada 2027 nanti, skuad negara bakal beraksi di pentas sama pada Januari depan yang dijadual berlangsung di Qatar.

Dalam saingan itu nanti, skuad kendalian Pan-gon diletakkan bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Disiarkan pada: August 6, 2023 @ 12:44pm
d